KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas maut manakala lapan lagi cedera selepas van yang dinaiki mereka terbabas ke bahu jalan di Jalan Bukit Ular, laluan Kunak-Lahad Datu, Sabah, pagi tadi.
Komander Operasi, PBK I Mohd Ridzuan Shahidun berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.19 pagi melalui talian MERS999.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak digegaskan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai.
“Kemalangan tersebut melibatkan sembilan mangsa termasuk seorang lelaki berusia 74 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi akibat tersepit di bahagian pemandu.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas Hydraulic Power Unit untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, lapan lagi mangsa yang berusia antara 46 hingga 75 tahun mengalami kecederaan dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS bomba serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mereka kemudian dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Operasi telah ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.09 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette















