Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis perasmian Maha Klinik di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam. Foto MOHD ADZLAN, 30 JUN 2025.

KUALA SELANGOR – Jangan ada campur tangan luar dalam pemilihan Ketua Hakim Negara, kata bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Katanya, pelantikan jawatan tertinggi itu perlu diselesaikan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) dan campur tangan hanya akan menjejaskan mutu sistem kehakiman negara.

“Saya difahamkan ada pendapat yang berbeza di kalangan SPK untuk pemilihan Ketua Hakim Negara. Jadi jangan ada campur tangan daripada luar, sekiranya ada maka kita tidak akan dapat hakim yang terbaik.

“Kita dah beri tanggungjawab kepada suruhanjaya itu dan mereka mempunyai ahli yang cukup untuk membuat penilaian terhadap prestasi (calon).

“Kalau seseorang itu tidak pernah jadi hakim di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, tiba-tiba nak jadi hakim tertinggi sekali, maka tentulah tidak baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan MAHA Klinik di Puncak Alam, dekat sini, hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, Malaysia memerlukan Ketua Hakim Negara yang berpengalaman luas seperti Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Tengku Maimun merupakan Ketua Hakim Negara wanita pertama Malaysia yang dilantik pada 2 Mei 2019 ketika berusia 59 tahun.

Hari terakhir perkhidmatan Tengku Maimun, 66, sebagai Ketua Hakim Negara dan mencapia persaraan wajib pada Rabu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast