KUALA LUMPUR – Rayuan akhir enam lelaki termasuk seorang bekas pakar patologi terhadap sabitan dan hukuman gantung kerana membunuh Timbalan Pendakwa Raya mendiang Datuk Anthony Kevin Morais akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan esok.
Mereka ialah Kolonel Dr. K. Kunaseegaran, 62; bekas pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandaran, 54, dan empat penganggur, R. Dinishwaran, 33; AK Thinesh Kumar, 32; M. Vishwanath, 35, dan S. Nimalan, 32.
Keputusan itu akan diumumkan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang selesai mendengar penghujahan pihak-pihak pada 14 Mei lalu.
Beliau yang bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang akan menentukan rayuan itu ditolak atau dibenarkan secara sebulat suara atau majoriti 2-1.
Dalam rayuan itu, peguam, Datuk N. Sivananthan, Amer Hamzah Arshad, Y. Sheelan Samuagan, Kitson Foong, Burhanudeen Abdul Wahid dan Afifuddin Ahmad Hafifi berhujah mewakili perayu-perayu manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim mewakili responden.
Keenam-enam lelaki itu merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkan mereka bersalah membunuh Kevin Morais di sebuah lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.
Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan 12 kali.
Kevin Morais dilaporkan hilang pada 4 September 2015 dan kali terakhir dilihat memandu keluar dari kediamannya di Menara Duta dengan menaiki Proton Perdana bernombor pendaftaran WA6264Q.
Mayat beliau ditemui pada 16 September 2015 dalam sebuah tong dram yang telah disimen, di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya.
Pihak pendakwaan menyatakan bahawa semua perayu kecuali Dr. Kunaseegaran berkumpul di restoran Syed Bistro di Petaling Jaya sebelum menuju ke Jalan Dutamas untuk mengekori Kevin Morais dari rumahnya.
Bukti menunjukkan sebaik sahaja mendiang keluar dari kediamannya, keretanya telah dilanggar oleh sebuah Mitsubishi Triton.
Beliau kemudiannya ditarik keluar secara paksa, dimasukkan ke dalam guni plastik dan diletakkan di dalam but kenderaan tersebut.
Mendiang kemudiannya disembunyikan di dalam tong minyak semalaman di hadapan gerai milik Gunasekaran di No. 1, Jalan USJ 1/6, Subang Jaya.
Tong yang mengandungi mayat Kevin Morais dibuang ke dalam sebuah paya berdekatan kawasan tersebut menggunakan sebuah forklift. – MalaysiaGazette
















