KUALA LUMPUR – Selepas mencipta fenomena dengan dua penganjuran terdahulu, seniman tersohor tanah air, Datuk M. Nasir kembali menggegarkan pentas konsert dengan penganjuran Konsert M Nasir Cipta 3.
Konsert anjuran Icon Entertainment itu dijadual berlangsung pada 27 September ini di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil.
Konsert yang bakal berlangsung pada jam 8 malam itu menjanjikan satu malam yang berbeza dengan konsep baharu yang diberi nama “Malam Ini Gua Rock”, sekali gus menampilkan sisi lebih ‘keras’ M. Nasir yang mungkin belum pernah dilihat secara langsung sebelum ini.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata, konsert kali ini akan menghimpunkan seleksi lagu-lagu rock ikonik nyanyian dan ciptaan M. Nasir yang telah mencorak sejarah muzik rock tanah air.
“Di sebalik lagu-lagu rock yang bakal dipersembahkan kelak, M.Nasir mempunyai banyak ceritera di sebaliknya terutama bersama kugiran atau penyanyi yang menyampaikan karya aslinya.
“Semua pun tahu, M.Nasir bukan hanya penyanyi yang menyanyikan karya peribadi tetapi beliau adalah pencipta untuk kebanyakan lagu popular kugiran atau penyanyi lain.
“Sebagai contoh, kita kenal lagu Sejati atau Intanku Kesepian milik Wings, tetapi M.Nasir adalah pencipta lagu rock yang menjadi antem buat kebanyakan peminat.
“Dan bagaimana bunyi lagu-lagu rock yang pernah popular ini dipersembahkan M.Nasir dalam ‘bentuk seni tersendiri. Datanglah Konsert Cipta 3, anda akan menemui momen ajaib di sini,” katanya.
Mengikut tema “Malam Ini Gua Rock”, penonton juga digalakkan hadir dengan penampilan masing-masing mengikut gaya tersendiri melalui tema pakaian “Rock Cara Lu… Janji Rock”, yang dianggap sebagai simbol kebebasan ekspresi.
Tiket konsert akan mula dijual kepada umum pada 4 Julai 2025, bermula jam 11 pagi menerusi laman sesawang [www.ticket2u.com.my/mnasircipta3](http://www.ticket2u.com.my/mnasircipta3).
Pra-jualan eksklusif dibuka kepada pengguna aplikasi Etiqa+ pada 3 Julai 2025, jam 2 petang.
Tiket ditawarkan pada harga RM258 (TEGUH), RM358 (OPERA HIDUP), RM458 (ISI DAN KULIT), RM488 (SEJATI), RM558 (GADISKU) dan RM628 (PAWANA). – MalaysiaGazette
















