Seorang pekerja pusat kecantikan melakukan pemeriksaan senarai harga perkhidmatan berikutan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Selayang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 30 JUN 2025

SELAYANG – Keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan cadangan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi perkhidmatan kecantikan dan gunting rambut disambut penuh kelegaan oleh pengusaha kecil.

Ia kerana, cadangan awal untuk mengenakan  SST sebanyak lapan peratus ke atas perkhidmatan gunting rambut disifatkan sebagai membebankan dan boleh memberi kesan langsung kepada kos dan pelanggan.

Namun, struktur baharu tarif elektrik bermula esok tetap memberi cabaran kepada peniaga-peniaga kecil.

Pemilik Z&ZS Legend Empire Barber Shop, Muhammad Amir Safwan K. Sabee Mohd, 29, menganggarkaan kalau SST dikenakan, harga potong rambut yang dikenakan RM20 boleh naik kepada RM30.

Muhammad Amir Safwan K Sabee Mohd.

“Caj gunting dan cuci mungkin naik antara RM45 ke RM50. Ini membebankan pelanggan tetap kami yang datang seminggu sekali.

“Alhamdulillah, kerajaan telah membuat pengecualian selepas semakan semula,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, keputusan itu bukan sahaja menyelamatkan pelanggan, malah membolehkan pengusaha mengekalkan kadar harga yang sedia ada tanpa perlu memindahkan beban cukai kepada pengguna.

Mulai esok, 1 Julai tarif elektrik asas dijangka meningkat sebanyak 14.2 peratus kepada kira-kira 45.62 sen/kWj, sekali gus menaikkan kos operasi.

Pemilik kedai gunting rambut, Muhammad Amir Safwan K Sabee Mohd menggunting rambut pelanggan ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Selayang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 30 JUN 2025

Safwan berkata, bil elektrik bulanan premisnya kini sudah mencecah RM350, dan  menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat selepas kenaikan tarif dibuat.

“Kos operasi kami akan naik. Kalau tarif elektrik terus naik, mungkin kami terpaksa naikkan harga juga walaupun kami cuba elakkan. Inilah cabaran sebenar peniaga kecil macam kami,” katanya.

Dalam situasi ekonomi yang penuh mencabar sekarang, Safwan menaruh harapan perniagaan kecil miliknya dapat bertahan untuk jangka panjang dan terus memberi perkhidmatan pada harga mampu milik.

“Kami bukan sekadar cari untung, tapi bantu masyarakat. Potong rambut, nampak remeh tapi bagi sesetengah orang, itu satu keperluan asas yang mesti mampu dicapai,” katanya.

Oleh itu, beliau menyifatkan langkah kerajaan menarik semula pelarasan  SST disifatkan sebagai keputusan yang tepat pada waktunya.

Namun dengan tarif elektrik baharu, beliau masih berharap  kerajaan  terus meneliti beban kos semasa agar perniagaannya kekal mampan dan rakyat mampu mendapatkan perkhidmatan asas pada harga berpatutan.

Zaharah Ibrahim.

Sementara itu, Pengasas Spa & Saloon Muslimah Z&Z, Zaharah Ibrahim, 52, berkata, pelanggan tetapnya terdiri daripada golongan B40 dan jika pelaksanaan SST terus dikenakan ke atas perkhidmatan miliknya pasti akan memberi tekanan kepada mereka.

“Pelanggan saya dari semua peringkat. Bila dengar SST akan dikenakan, saya fikir memang kena naik harga.

“”Kalau urut RM88 tu, mungkin boleh naik RM100 lebih. Tapi bila kerajaan tarik balik, memang rasa lega sangat,” ujarnya.

Pemilik pusat kecantikan, Zaharah Ibrahim melakukan persediaan bilik spa ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Selayang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 30 JUN 2025

Zaharah bagaimana pun menambah,  dia memilih untuk mengekalkan harga rendah kerana mahu semua lapisan masyarakat merasai rawatan spa yang berkualiti.

“Kadang orang asli yang tinggal di sekitar sini terutamanya di Ulu Yam pun nak buat rambut. Di luar RM300, kita buat RM100. Sebab kita nak bagi semua orang merasa,” katanya yang turut menawarkan perkhidmatan percuma kepada pelanggan uzur atas dasar ikhlas.

Muhammad Hanif Idris.

Pengurus One Z&Z Barber Shop, Muhammad Hanif Idris, 25, mengakui dia bimbang dengan pengumuman awal kerajaan untuk menyelaraskan semula SST.

Katanya, sebagai peniaga kecil, pelarasan SST sebanyak lapan peratus adalah satu jumlah besar.

“Kita beli barang pun dah kena SST, kalau servis pun kena, terpaksa naik harga. Itu yang buat pelanggan lari,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata Muhammad Hanif, walaupun isu SST selesai bagi peniaga sepertinya tetapi dia tetap bimbang dengan struktur baharu tarif elektrik. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast