KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan maut dipercayai dibunuh rakan sekerjanya selepas terbabit dalam pergaduhan di kedai besi buruk di Jalan 1/18B, Kampung Batu Off Jalan Ipoh di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pemilik premis pada pukul 11.33 malam yang memaklumkan mengenai pergaduhan antara dua pekerjanya.
“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 37 tahun dipercayai terbabit dalam pertengkaran dengan seorang lelaki warga Myanmar.
“Dipercayai juga bahawa mereka berada dalam keadaan mabuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Sukarno, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman dan anggota siasatan telah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak berbaju dan memegang sebilah parang di tangan kiri.
“Pemeriksaan turut menemui kesan kecederaan pada beberapa bahagian tubuh termasuk bahu kanan, kepala sebelah kiri, leher, dagu kiri serta kesan lubang di bahu,” tambahnya.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dan suspek telah minum minuman keras bersama sebelum berlaku pertengkaran yang membawa kepada kejadian tragis itu.
Tambahnya, suspek melarikan diri sejurus kejadian dan kini sedang diburu pihak polis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette
















