Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bercakap kepada pemberita dalam sidang media khas laporan siasatan letupan gas Putra Heights di bangunan SUK Selangor, Shah Alam.

SHAH ALAM – Tiada sebarang unsur khianat, sabotaj mahupun kecuaian dikenal pasti sehingga menyebabkan kerosakan kepada paip gas dan mencetuskan letupan dalam bencana itu di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sepanjang siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sehingga 25 Jun lalu, pihaknya mendapati tiada sisa bahan letupan dijumpai di kawasan kejadian.

“Tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti sehingga boleh menyebabkan kerosakan kepada paip gas dan mencetuskan letupan,” katanya pada sidang media khas jawatankuasa bencana itu, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pada 1 April lalu, kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya menggemparkan penduduk sekitar apabila api marak menjulang ke udara sehingga dapat dilihat sejauh beberapa kilometer dari lokasi kejadian.

Kebakaran yang berlaku kira-kira 8.09 pagi pada hari kedua sambutan Hari Raya Aidilfitri menghasilkan api sepanjang kira-kira 500 meter yang boleh dilihat dari jarak yang jauh.

Menurut Hussein, siasatan polis secara terperinci dijalankan meliputi aspek perbuatan khianat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (melakukan khianat dengan api atau bahan letupan yang boleh menyebabkan kerosakan).

“Siasatan kedua pula melibatkan aspek kecuaian mengikut Seksyen 285 / 286 Kanun Keseksaan (kelakuan cuai berkenaan dengan api / bahan letupan yang boleh menyebabkan cedera atau bencana atau benda mudah terbakar boleh menyebabkan cedera atau bencana kepada manusia),” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati pembinaan lot kedai pejabat dan penggantian paip pembentung di kawasan kejadian telah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pembinaan itu menepati garis panduan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Petronas iaitu berada di zon penampan dengan jarak 40 meter dari paip gas,” katanya.

Selain itu, katanya, kerja-kerja pengorekan tanah untuk penggantian paip kumbahan yang dijalankan oleh kontraktor tidak mengakibatkan gangguan paip Petronas secara langsung.

“Ini kerana keadaan paip fizikal gas Petronas berada di kedalaman 5.6 meter dari paras jalan dan jarak paip Petronas adalah 3.5 meter dari paip kumbahan,” katanya.

Katanya, tiada kerja-kerja pembinaan dijalankan semasa kejadian berlaku dan tidak terkesan sebarang aktiviti sabotaj atau khianat.

“Kerja-kerja penggantian paip kumbahan telah berakhir pada 30 Mac 2025.

“Sebelum kejadian, tiada sebarang petunjuk dari segi bacaan tekanan oleh ‘Petronas Gas Control Centre’.

“Bacaan tekanan gas di dalam paip adalah normal dan semasa kejadian berlaku, bacaan tekanan gas menurun dengan mendadak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast