KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki melanggar bahagian sebuah lori dalam nahas di Ladang Sakilan, Batu 25, Sandakan, Sabah malam tadi.
Komander Operasi, PBK I Alan Ayuh berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan pada pukul 8.25 malam sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 34 kilometer dari balai.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Haikal Jatimin, 21, manakala penumpang Hasbir Baso, 30, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan sebelum menyerahkan mereka kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Alan, operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.30 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette















