Gambar hiasan

ISKANDAR PUTERI – Tindakan seorang pekerja membuat laporan palsu semalam mendakwa wang milik majikannya RM21,000 disamun menjerat diri apabila perkara yang sebenar terdedah selepas siasatan dibuat.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, sebelum itu wanita berkenaan yang berusia 23 tahun membuat laporan polis pukul 2.23 petang.

“Dia melaporkan telah disamun di kawasan Gelang Patah dan wang tunai majikannya berjumlah RM21,000 telah dilarikan seorang suspek.

“Hasil siasatan mendapati wang tersebut sudah digunakan wanita berkenaan untuk perbelanjaan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kedua berkenaan laporan polis palsu pada pukul 1.35 pagi tadi dibuat seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun.

Jelasnya, lelaki itu melaporkan telah disamun di tepi jalan di kawasan Kangkar Pulai dan mendakwa beg miliknya yang mengandungi dokumen peribadi telah dilarikan.

Namun hasil siasatan mendapati pengadu membuat laporan palsu bagi mengelak didenda pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semasa membuat pembaharuan kad pengenalan yang sebenarnya telah tercicir.

“Orang ramai diingatkan perbuatan membuat laporan palsu adalah satu kesalahan bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast