KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengucapkan tahniah atas pelantikan tokoh korporat yang juga pengasas Kumpulan Perbankan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Presiden ke-10 UIAM.
Abdul Rashid juga merupakan Ahli Lembaga Gabenor (BOG) UIAM yang telah dilantik sejak Disember 2018 hingga kini.
Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar menyifatkan pelantikan tersebut sebagai langkah strategik ke arah pengukuhan peranan Universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Presiden baharu UIAM disambut dengan penuh rasa hormat dan harapan tinggi kepimpinan universiti”.
“Beliau merupakan tokoh terkemuka dalam bidang kewangan, tadbir urus korporat dan perkhidmatan awam. Pelantikan beliau dijangka membawa hala tuju strategik baharu dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, inovasi dan kerjasama antarabangsa UIAM,” katanya.
Tambah beliau lagi, kepimpinan Abdul Rashid dijangka memperkasa pembangunan akademik, penyelidikan, pembangunan bakat dan pengukuhan jaringan global berteraskan nilai-nilai Islam.
“Warga UIAM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan ini dan komited untuk bersama beliau dalam memacu universiti ke tahap yang lebih gemilang dan kami warga universiti menjunjung setinggi kasih atas perkenan Ketua Perlembagaan UIAM bagi lantikan tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengurusan dan warga UIAM turut menyampaikan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Samsudin Osman atas sumbangan serta jasanya sepanjang menerajui universiti sebagai presiden kesembilan. – MalaysiaGazette
















