KUANTAN – Seorang pensyarah lelaki kerugian hampir RM300,000 selepas terpedaya dengan ugutan individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 44 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa sebagai pegawai syarikat e-dagang Lazada pada 30 April lepas.
“Suspek mendakwa kononnya nombor telefon mangsa telah disalahgunakan dalam aktiviti penipuan. Mangsa kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis yang mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan pemalsuan dokumen dan pengubahan wang haram di mana mangsa ditakut-takutkan dengan ancaman hukuman penjara dan sebatan,” katanya dalam kenyataan.
Situasi itu, kata Yahaya, mendorong mangsa yang dalam keadaan panik membuat sebanyak 17 transaksi menerusi perbankan atas talian dan Mesin Deposit Tunai (CDM) ke 11 akaun bank berbeza yang melibatkan jumlah keseluruhan RM294,000.00.
Difahamkan, mangsa menyerahkan duit simpanan peribadi, simpanan keluarga serta pinjaman daripada pihak bank bagi tujuan pemindahan wang itu.
Selain itu, Yahaya berkata, suspek turut mengarahkan mangsa untuk melapor diri lima kali sehari melalui telefon, aplikasi WhatsApp serta panggilan video.
Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa kemudian merasa terpedaya dan membuat laporan polis.
Justeru Yahaya menasihati orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak Polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette
















