Program anjuran Smart Green PSA menyaksikan penglibatan seramai 250 pelajar dan enam pensyarah.

KUALA LUMPUR –  Sebanyak 421.35 kilogram (kg)  minyak masak terpakai berjaya dikumpul dalam Program anjuran Smart Green Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) sempena Hari Mesra Alam hasil sumbangan para pelajar dan kakitangannya.

Pengurus Smart Green PSA, Raazizah Hussain berkata, inisiatif mengumpul minyak masak terpakai tersebut adalah untuk mendidik warga PSA mengenai kepentingan kitar semula sisa dapur dan pengurangan pencemaran air serta tanah akibat pelupusan minyak secara tidak bertanggungjawab. 

Raazizah berkata, penganjuran Hari Mesra Alam PSA jelas membuktikan bahawa pemerkasaan budaya hijau di institusi pendidikan bukan sekadar retorik malah mampu menghasilkan impak sebenar dalam kehidupan harian warga kampus.

“Program berkenaan dilaksanakan secara berfasa bermula Mac lalu menyaksikan penglibatan seramai 250 pelajar dan enam pensyarah.

“Melalui program ini, kita membuka peluang kepada warga kampus untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta mewujudkan komuniti kampus yang lebih prihatin terhadap budaya hijau.

“Tambahan pula, minyak yang dikumpul boleh diproses semula menjadi biodiesel atau produk mesra alam lain, sekali gus menyumbang kepada pembangunan teknologi hijau dan ekonomi kitaran,” jelasnya.

Selain pengumpulan minyak, pelbagai aktiviti mesra alam seperti bengkel pembuatan sabun, gotong-royong dan penanaman pokok serta Explorace Zero Waste turut diadakan.

Di samping itu, Hari Mesra Alam turut menjadi platform pembelajaran bersepadu apabila pelajar daripada pelbagai jurusan seperti Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam dan Perdagangan berganding bahu menjayakan program melalui Modul Kelab dan Persatuan Mesra Alam, Pematuhan Teknologi Hijau, dan Etika Perniagaan.

“Program ini bukan sahaja menanam nilai tanggungjawab sosial dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar, malah menyokong Matlamat Pembangunan Lestari serta membina komuniti kampus yang lebih prihatin terhadap masa depan bumi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast