PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan wujud kelewatan tidak wajar oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah dalam mengendalikan permohonan kad pengenalan baharu yang melibatkan anak seorang pengadu.
Menurut EAIC, kelewatan tersebut menimbulkan kesan negatif terhadap pengadu dan anak-anaknya, sekali gus menunjukkan kegagalan pegawai terbabit melaksanakan tugas dengan cekap seperti yang ditetapkan dalam etika perkhidmatan awam.
“Siasatan kami mendapati pegawai penyiasat JPN Sabah telah mengambil masa terlalu lama untuk memulakan dan menguruskan siasatan terhadap permohonan tersebut.
“Kelewatan ini jelas bercanggah dengan Kod Etika JPN yang menekankan komitmen tinggi, kesediaan untuk bertanggungjawab dan ketekunan dalam melaksanakan tugas mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” kata EAIC dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada pihak tatatertib JPN dengan syor syor agar tindakan diambil terhadap pegawai-pegawai terbabit.
“Kami menyarankan hukuman tatatertib dikenakan mengikut Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 kerana berlaku kesalahan kurang cekap di bawah Peraturan 4(2)(e).
“Tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam sentiasa terpelihara.
“Isu kelewatan ini bukan sahaja menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem, tetapi juga memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian individu yang memerlukan dokumen pengenalan rasmi negara. Kelemahan sebegini tidak boleh dibiarkan berulang,” ujarnya EAIC.
Dalam masa sama, EAIC turut menggesa JPN memperkukuh mekanisme dalaman untuk menangani kes-kes tertunggak dan kelemahan prosedur yang dikenal pasti sepanjang siasatan. -MalaysiaGazette
















