PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak dan anaknya Datuk Mohamad Nizar tidak mengemukakan bukti munasabah berkaitan kewujudan titah adendum, walhal berpeluang berbuat demikian di peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berhujah, Mohamad Nizar yang merupakan Exco Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, berpeluang mendapatkan titah itu kerana beliau kerap menghadiri mesyuarat dan pertemuan dengan Sultan Pahang.
Hujah Mohd. Dusuki, bagaimanapun, titah tersebut hanya diperoleh selepas Mahkamah Tinggi memutuskan menolak kebenaran semakan kehakiman bekas Perdana Menteri.
Menurut Peguam Negara, Najib memperolehi maklumat yang kredibel seawal 12 Februari 2024 bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 mengeluarkan titah tambahan bertarikh 29 Januari 2024 yang menyatakan beliau boleh menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Mohd. Dusuki kemudian memetik penghakiman minoriti Mahkamah Rayuan, Najib sudah mengetahui titah itu wujud lebih awal, namun tiada usaha yang menunjukkan bahawa beliau cuba berkomunikasi dengan pihak Istana Negara atau Istana Pahang berkaitan titah itu.
Penghakiman itu turut menyatakan, Mohamad Nizar hanya mengikrarkan afidavit pada 2 Disember 2024 bahawa beliau kerap bermesyuarat dengan Sultan Pahang, namun dokumen itu diperolehi berbulan-bulan selepas keputusan Mahkamah Tinggi.
“Keputusan Mahkamah Tinggi diumumkan pada 3 Julai 2024, Najib gagal menjelaskan mengapa tiada usaha diambil sebelum itu untuk berkomunikasi dengan Istana Pahang berkaitan titah yang didakwa dikeluarkan.
“Usaha itu hanya dilakukan selepas keputusan Mahkamah Tinggi (3 Julai 2024) termasuk pertemuan dengan Sultan Pahang sendiri pada 4 Ogos 2024,” hujah Mohd. Dusuki.
Oleh yang demikian, beliau menghujahkan, penghakiman majoriti Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membenarkan Najib mengemukakan bukti tambahan dalam semakan kehakiman berdasarkan Aturan 55 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Hujah beliau, peruntukan yang sepatutnya diguna pakai adalah Aturan 7(3A) Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.
Peguam Negara selanjutnya menghujahkan, perintah pengurangan separuh daripada penjara dan denda, merupakan satu-satunya keputusan yang dicapai oleh Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 pada 29 Januari 2024 yang dipengerusikan oleh YDPA ke-16.
Menurut beliau, ia konsisten dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengampunan.
Hujahnya, penghakiman majoriti Mahkamah Rayuan ketika menentukan titah itu kredibel bagaimanapun tidak membuat analisis menyeluruh sama ada ia mematuhi peraturan ketulenan dokumen dalam konteks Aturan 7(3A).
Mohd. Dusuki selanjutnya berhujah, meskipun bekas Perdana Menteri ditahan di penjara, beliau tidak dihalang daripada menggunakan kemudahan di situ.
Mahkamah sedang mendengar rayuan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman Najib ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah menetapkan 9 Julai untuk menyambung penghujahan. – MalaysiaGazette

















Rakyat cuma nak tahu benda soalan simple jaa..Peguam Negara ada terima atau tidak titah adendum? Kenapa tak bgtau Hakim Mahkamah Tinggi perkara yg benar? Tak payahlah berbelit2…
Rakyat nak tahu berapa banyak duit yg disebat itu dah dipullangkan dan dimana sahabat dia Jho Low