Siti Sakinah

KUALA LUMPUR – Penamatan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat yang diumumkan Presiden Donald Trump, Isnin lalu merupakan peluang besar untuk Syria membina semula negara itu selepas lebih satu dekad berdepan peperangan dan pengasingan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, arahan eksekutif itu menjadi titik tolak penting untuk rakyat Syria untuk memperkukuh pemulihan ekonomi dan sosial mereka terutama apabila negara tersebut dikeluarkan daripada senarai sekatan.

“Syria Care mengalu-alukan komitmen Washington dalam mengekalkan tekanan terhadap individu dan kumpulan yang terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia, pengedaran dadah, penggunaan senjata kimia, dan aktiviti keganasan.

“Kami menegaskan bahawa sebarang usaha pemulihan mesti berpaksikan keadilan, keamanan, dan pematuhan terhadap hak asasi manusia,” katanya.

Katanya lagi, penamatan sekatan tersebut juga membuka ruang baharu buat badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dan tempatan seperti Syria Care memperluaskan bantuan kemanusiaan, mempercepatkan pemulihan infrastruktur, dan memulihkan kehidupan rakyat di sana tanpa kekangan kewangan dan logistik.

“Kami menyeru komuniti antarabangsa, para penderma, dan rakan strategik untuk bersama-sama merebut peluang ini dengan menyokong usaha pemulihan Syria secara kolektif. Syria Care kekal komited untuk terus menjadi jambatan antara rakyat Malaysia dan rakyat Syria dalam menyalurkan bantuan yang berfokus, bermaruah dan berterusan,” katanya lagi.

Donald Trump semalam secara rasmi memansuhkan sekatan negara itu terhadap Syria, dengan harapan untuk mengintegrasikan semula negara berkenaan yang sebelum ini dibelenggu perang, ke dalam ekonomi global manakala Israel menaruh harapan menjalin hubungan dengan kepimpinan baharu negara itu.

Menerusi satu perintah eksekutif, Trump menamatkan darurat nasional yang berkuatkuasa sejak 2004.

Ia susulan tindakan yang diambilnya pada Mei lalu yang mana Trump menarik balik sebahagian besar sekatan terhadap Syria, sebagai tindak balas kepada rayuan Arab Saudi dan Türkiye, selepas bekas pemimpin pejuang Syria, Ahmed al-Sharaa, mengakhiri pemerintahan selama setengah abad keluarga Bashar al-Assad.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast