KUALA LUMPUR – Pemuda MCA menyambut baik dan mengalu-alukan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memulakan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dan rasuah melibatkan tender pembinaan MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, perkembangan ini secara tidak langsung membuktikan laporan rasmi yang dibuat oleh parti itu kepada SPRM pada 21 Mei 2025 lalu berasas serta mempunyai merit yang kukuh untuk disiasat secara serius oleh pihak berkuasa.
Sehubungan itu, Pemuda MCA menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk mengambil tindakan susulan.
“Kami percaya dan yakin siasatan akan dijalankan secara telus, menyeluruh dan bebas daripada sebarang campur tangan politik mahupun pilih kasih,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Choo Seong, projek MyKiosk yang melibatkan peruntukan dana awam sebanyak RM250 juta adalah satu jumlah yang besar dan tidak wajar disia-siakan.
Sekiranya terbukti wujud sebarang penyelewengan atau salah laku dalam pelaksanaan dan tatakelola projek ini, mereka yang terlibat mesti dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi.
Lebih membimbangkan, katanya, sehingga kini masih banyak kiosk yang dilihat kosong dan tidak digunakan seperti yang dihasratkan.
Keadaan ini juga jelas merupakan satu pembaziran dana awam yang amat dikesali.
Pada masa sama, Pemuda MCA turut menggesa Jabatan Audit Negara untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan audit forensik terhadap keseluruhan pelaksanaan projek MyKiosk bagi memastikan ketelusan penggunaan wang rakyat serta menilai keberkesanan sebenar projek ini dalam membantu golongan sasar.
“Rakyat juga berhak mengetahui mengapa kerajaan membayar antara RM25,000 hingga RM34,000 bagi setiap unit kios, sedangkan harga pasaran bagi sebuah kios seumpamanya hanya sekitar RM12,800. Ketelusan dalam isu ini amat penting bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran.
Dalam masa yang sama, Pemuda MCA menggesa Menteri KPKT, Nga Kor Ming, agar memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia dan menarik balik arahan kepada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) untuk mengesan pengguna media sosial, termasuk TikToker, yang didakwa menyebarkan ‘berita palsu’ dan ‘video fitnah’ mengenai projek MyKiosk.
Jelasnya, tindakan sedemikian adalah tidak wajar dan bercanggah dengan prinsip demokrasi serta kebebasan bersuara yang dijamin dalam negara ini. – MalaysiaGazette
















