Pasukan forensik polis mencari bukti kes di rumah mangsa di Cheng, Melaka petang tadi.

MELAKA – Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki merogol anak perempuannya yang juga seorang orang kurang upaya (OKU) di rumahnya di Cheng di sini bulan lalu.

Selain suspek berusia 54 tahun, turut ditahan adalah kakak mangsa berusia 25 tahun yang dipercayai bersubahat menyembunyikan perbuatan keji bapanya selepas diadukan mangsa berusia 23 tahun.

Menurut sumber, kejadian pada 6 Jun lalu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibu saudaranya yang kemudian membawanya membuat laporan polis.

“Mangsa yang masih bujang dan merupakan OKU pembelajaran
mendakwa dia tiba-tiba ditarik bapanya itu ke dalam bilik selepas mandi di rumahnya itu kira-kira 9 pagi pada 6 Jun lalu.

“Suspek yang kematian isteri akibat kanser pada 2008 kemudian terus merogol pengadu menyebabkannya cuba melepaskan diri namun tidak berjaya,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu, suspek turut memukul kaki pengadu yang merupakan anak bongsu dari dua beradik menggunakan tali pinggang dan mengugut pengadu agar merahsiakan perbuatannya itu.

Pengadu mendakwa sebelum ini, bapanya itu juga pernah merogol dan memukulnya dan dia pernah menceritakan kejadian kepada kakaknya.

“Bagaimanapun kakaknya enggan percaya sebaliknya turut memukul pengadu merasakan adiknya telah memfitnah bapanya.

“Pengadu yang berasa takut untuk pulang ke rumah kemudian telah menceritakan kejadian berkenaan kepada ibu saudaranya sebelum membawanya membuat laporan polis pagi tadi,” katanya.

Bertindak hasil laporan, sepasukan polis dari Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan dua beranak itu petang tadi.

Kedua-dua suspek akan direman Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast