PUTRAJAYA – Semua prosiding berkaitan kes saman Tan Sri Shahrir Ab. Samad terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan tiga yang lain berhubung pendakwaan berniat jahat, akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi berlainan.
Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan Tommy untuk menggugurkan Hakim Roz Mawar Rozain daripada mendengar saman berkenaan.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh Hakim Datuk Supang Lian yang bersidang bersama-sama Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Ketika membacakan keputusan tersebut, Hakim Faizah berkata, panel itu berpendirian wujud unsur-unsur berat sebelah meskipun dalam keadaan tidak disengajakan, jika perbicaraan kes saman itu didengar di hadapan Hakim Roz Mawar.
Oleh yang demikian, panel berkenaan mengetepikan keputusan hakim tersebut pada 14 Januari lalu yang menolak permohonan Tommy agar beliau menarik diri daripada mendengar kes saman itu.
Mahkamah turut memerintahkan kos RM30,000 dibayar kepada bekas Peguam Negara.
Hakim Faizah selanjutnya berkata, hakim berkenaan tidak perlu membuat dapatan dan pandangannya ketika memutuskan menolak permohonan Tommy agar saman itu dibatalkan.
Menurut Hakim Faizah, dapatan Hakim Roz Mawar ketika itu mendedahkan pandangannya berkaitan merit kes saman tersebut.
Ujar beliau, panel tersebut menyatakan, berdasarkan fakta dan keadaan kes, dapatan dan pemerhatian hakim berkenaan menimbulkan risiko bahaya berat sebelah yang sebenar oleh hakim itu.
Oleh yang demikian, panel itu berpendirian, hakim berkenaan sepatutnya menarik diri daripada mendengar semua prosiding berkaitan kes itu.
Menurut panel itu, Mahkamah Rayuan berada dalam kedudukan yang lebih baik dan mempuyai objektiviti untuk menilai sama ada wujud bahaya berat sebelah yang sebenar kerana ahli panel tidak terlibat dalam perbicaraan kes tersebut.
Ketika sesi penghujahan pada 5 Jun lalu, peguam Alan Adrian Gomez mewakili Tommy serta Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah bagi pihak Shahrir.
Alan Adrian berhujah agar rayuan itu dibenarkan atas alasan Hakim Roz Mawar dikhuatiri tidak akan mengadili anak guamnya secara saksama jika pendengaran saman didengar di hadapan beliau.
Hujah peguam, hakim berkenaan dikhuatiri bersikap berat sebelah kerana beliau terlebih dahulu membuat keputusan menolak permohonan Tommy untuk membatalkan saman yang difailkan Shahrir terhadapnya.
Sementara itu, Firoz Hussein pula berhujah supaya rayuan itu ditolak atas alasan Hakim Roz Mawar membuat keputusan yang betul ketika mengarahkan perbicaraan kes saman itu didengar di hadapan beliau.
Pada 14 Januari lalu, ketika menolak permohonan Tommy agar beliau menarik diri daripada mendengar saman tersebut menyatakan, muncul trend tidak sihat apabila pihak-pihak yang terlibat dalam litigasi cuba menggugurkan hakim daripada mendengar kes mereka.
“Seorang litigan berhak memohon hakim menarik diri tetapi permohonan itu mesti dibuat selepas mempertimbangkan kesan buruk yang mungkin timbul terhadap integriti badan kehakiman dan pentadbiran keadilan,” ujar beliau.
Hakim Roz Mawar kemudian menetapkan perbicaraan penuh selama tujuh hari pada 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bharu itu memfailkan saman tersebut pada Disember 2023, menamakan Tommy, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan sebagai defendan.
Saman Shahrir adalah berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterima beliau daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi tujuan kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor. – MalaysiaGazette














