Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia mengambil alih tanggungjawab penjagaan sementara terhadap seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa rogol teman lelaki ibunya sekiranya tiada ahli keluarga yang sesuai atau berkeupayaan untuk menjaganya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia bagi memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak berkenaan terjamin.

Menurutnya, selain perlindungan fizikal, mangsa juga berhak menerima sokongan psikososial yang sewajarnya bagi membantu proses pemulihan emosi dan mental.

Tegas beliau, kes seumpama itu amat membimbangkan dan tidak boleh dikompromi dalam mana-mana masyarakat yang menghargai keselamatan serta maruah kanak-kanak.

“Saya ingin mengajak masyarakat untuk terus peka terhadap isu penderaan kanak-kanak dan tidak berdiam diri apabila berlaku kejadian sedemikian.

“Sebarang maklumat berkaitan penderaan atau pengabaian boleh dilaporkan kepada Talian Kasih 15999 atau mana-mana pejabat JKM berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nancy berkata, kementerian itu akan terus memperkukuh langkah-langkah pencegahan, pemulihan dan perlindungan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.

Terdahulu, media melaporkan, seorang ibu kandung dan teman lelakinya didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini, masing-masing atas tuduhan bersubahat sehingga mendorong lelaki itu merogol anak perempuan wanita itu yang berusia 12 tahun, tahun lalu.

Bagaimanapun, peniaga nasi lemak, lelaki berusia 61 tahun, dan wanita berusia 37 tahun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast