KUANTAN – Seorang jururawat berusia 39 tahun kerugian lebih RM500,000 selepas terpedaya janji seorang individu tidak dikenali menerusi aplikasi ‘Whatsapp’ yang menawarkan keuntungan pelaburan tidak masuk akal.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, suspek yang dihubungi pada bulan Mac lepas pada awalnya menawarkan mangsa peluang pekerjaan di luar negara.

“Suspek kemudian memujuk mangsa untuk melabur dalam satu skim pelaburan yang kononnya menjanjikan pulangan sebanyak 10 peratus setiap hari daripada jumlah modal yang dilaburkan.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk membuat pelaburan itu melalui satu laman web palsu yang diberikan oleh suspek melalui satu pautan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, mangsa menuruti arahan individu terbabit dan melakukan pemindahan wang secara berperingkat ke dalam 10 akaun bank berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM634,400.00 antara 24 Mei sehingga 29 Jun baru-baru ini.

Yahaya berkata, difahamkan wang pelaburan tersebut adalah hasil daripada simpanan peribadi dan pinjaman bank yang diambil oleh mangsa.

“Mangsa mula menyedari dirinya telah ditipu selepas pautan platform pelaburan tersebut tidak lagi boleh diakses dan tiada sebarang pulangan diterima,” tambahnya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan atas talian yang menjanjikan keuntungan tinggi.

Masyarakat juga katanya diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast