Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang kerani sebuah institusi kewangan berusia 49 tahun terpaksa berputih mata kerugian lebih RM100,000 setelah terpedaya dengan tawaran keuntungan lumayan pelaburan secara dalam talian.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, wanita itu pada mulanya ternampak iklan pelaburan menerusi platform yang dikenali sebagai ‘Digital Levis’ di aplikasi Facebook pada 12 Jun lepas.

“Mangsa berhubung melalui aplikasi WhatsApp dan dimaklumkan akan menerima keuntungan dengan cara pembelian barangan jenama Levis melalui platform yang disediakan oleh suspek.

“Mangsa mula percaya selepas menerima pulangan awal sebanyak RM835.00 hasil daripada pelaburan berjumlah RM30,563.20 dan mula menambah pembelian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, mangsa kemudian diminta pula untuk membayar sebanyak 18 peratus daripada keuntungan pelaburannya itu berjumlah RM438,748.00 kononnya bagi tujuan pembayaran cukai.

Tanpa menyedari helah tersebut, beliau berkata, mangsa telah membuat 14 transaksi ke atas lapan akaun bank berbeza sehingga mengalami jumlah kerugian sebanyak RM106,071.00.

Mangsa kemudian merasa tertipu dan membuat laporan polis. Katanya, sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan milik mangsa.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan atas talian yang menjanjikan keuntungan tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast