GEORGE TOWN – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut warga Australia, pada Jun lalu.
Tertuduh, S. Prasanth, 25, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim, Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang penuntut warga Australia berusia 21 tahun di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia dengan nombor pendaftaran PNB 4054 selain meletakkan mangsa dalam ketakutan dengan mengacukan sebilah gunting besi terhadapnya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 5.20 pagi hingga 6 pagi di kawasan perkuburan Cina Hong Seng Estate Mount Erskine dalam daerah Timur Laut pada 28 Jun lalu.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii iaitu memasukkan zakar ke dalam dubur mangsa sama pada tempat dan tarikh serupa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwa negeri, Nordin Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Nordin memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan itu serius dan tidak boleh dijamin selain mengambil kira faktor mangsa diperlakukan kejam kerana dirogol dan diliwat pada masa sama.
“Saya mohon mahkamah mempertimbangkan tindakan tertuduh yang mendatangkan ketakutan terhadap mangsa dengan mengacukan gunting selain kejadian itu tidak sepatutnya berlaku tambahan pula di kawasan kubur yang dianggap sebagai tempat suci.
“Selain itu, mahkamah juga diminta mempertimbangkan kejadian itu melibatkan seorang pelancong, penuntut warga Australia yang mana negara kita mempunyai hubungan baik dengan negara tersebut.
“Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan saya mohon setiap RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan perlu lapor diri di balai polis serta serah pasport kepada mahkamah,” katanya.
Sementara itu, tertuduh dalam rayuan mohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin atas alasan menjaga ibubapa berusia 65 tahun selain hanya bekerja sambilan.
Hakim kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 31 Julai depan untuk sebutan fakta kes dan hukuman serta lantikan peguam.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette pada Ahad lalu melaporkan seorang pengawal keselamatan direman selama enam hari bagi membantu siasatan merogol penuntut warga Australia.
Pihak polis menerima laporan daripada pengadu berusia 21 tahun yang mendakwa dirogol suspek di lokasi tidak diketahui.
Difahamkan, mangsa bersama kenalannya seorang lelaki warga England dikatakan berada di sebuah bar di Love Lane dekat sini, sebelum lelaki itu mengadu sakit kepala.
Suspek yang turut berada di lokasi kemudian membawa mereka kononnya ke hospital namun dalam perjalanan dia meninggalkan lelaki itu di satu lokasi sebelum membawa mangsa ke lokasi berbeza serta merogolnya. – MalaysiaGazette
















