JOHOR BAHRU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang baharu, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mampu menangani isu-isu keselamatan di sempadan secara lebih berkesan
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, AKPS di bawah kepimpinan yang baharu itu dapat diperkasakan bagi memastikan kawalan sempadan negara pada tahap terbaik.
“Kementerian telah menggariskan beberapa tugasan khusus agar kawalan pintu masuk negara dipertingkat.
“Kementerian telah memberikan beberapa tugasan dan tanggungjawab khusus kepada beliau dan saya yakin dengan keupayaan beliau untuk memastikan kawalan pintu masuk dan sempadan negara benar-benar kukuh.
“Kita mengambil kira juga isu yang sedang berlaku di negara kita, untuk memastikan kawalan sempadan di seluruh negara benar-benar pada tahap yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di Pulai Spring Resort, di sini malam tadi.
Mohd Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali yang bersara wajib pada 10 Februari lalu selepas berkhidmat di agensi tersebut sejak Januari 2024.
Mohd Shuhaily akan mengetuai AKPS untuk tempoh dua tahun hingga 30 Jun 2027.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, penyusunan semula peranan AKPS sebagai agensi utama kawalan sempadan diharap dapat mendepani pelbagai cabaran semasa melibatkan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
“Kita mahu AKPS menyamai keupayaan agensi kawalan sempadan di negara-negara lain yang telah lama mewujudkan agensi seperti ini bagi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.
Ujarnya, kawalan efisien di pintu masuk negara juga menjadi antara keutamaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.- MalaysiaGazette















