Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva awal Jun 2025.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menerusi Jawatankuasa Bersama Khas (JBK) kecewa terhadap tindakan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yang didakwa gagal menyerahkan senarai wakil pekerja ke Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva baru-baru ini. 

Pengerusi JBK, J Solomon berkata, kegagalan tersebut bukan sahaja memalukan imej Malaysia di peringkat antarabangsa, malah mencerminkan sikap sambil lewa kerajaan dalam menghormati komitmen terhadap Konvensyen ILO No 98 iaitu hak untuk berorganisasi dan berunding secara kolektif.

J Solomon.

“Malaysia telah disenaraikan dalam kalangan 25 negara yang perlu memberi penjelasan di hadapan Jawatankuasa Penguatkuasaan Standard ILO.

“Ironinya, wakil pekerja daripada MTUC yang sepatutnya memainkan peranan penting tidak dihantar oleh kerajaan walaupun kami telah mengemukakan nama-nama seperti yang diarahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Solomon, JBK ditubuhkan untuk bertujuan menstabilkan pentadbiran MTUC sementara menunggu Persidangan Perwakilan Khas (SDC).

Namun usaha untuk menghantar delegasi pekerja ke ILC disekat apabila Kesuma enggan menyerahkan senarai yang dikemukakan JBK.

“Kami berterima kasih kepada Kongres Kesatuan Sekerja Antarabangsa yang membantu 14 wakil MTUC untuk tetap hadir ke Geneva atas kapasiti antarabangsa. Tanpa sokongan mereka, suara pekerja Malaysia mungkin terus disenyapkan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan kerajaan sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap MTUC, yang boleh disifatkan sebagai menindas suara pekerja yang sah.

“Sistem ILO jelas apabila sesebuah kerajaan gagal menunaikan tanggungjawab, mereka akan ‘dinamakan dan dimalukan’. Itulah yang berlaku kepada Malaysia di Geneva,” ujarnya.

Dalam sesi perbincangan rasmi, Solomon memaklumkan 12 daripada 21 wakil antarabangsa, termasuk pemimpin tertinggi ITUC dan WFTU, serta seorang menteri dari negara anggota EU, secara terbuka menyokong tuntutan MTUC dan menggesa Kerajaan Malaysia supaya mematuhi Konvensyen No. 98.

ILO dalam keputusan rasminya menyatakan kebimbangan terhadap beberapa kelemahan serius dalam sistem perburuhan negara, antaranya perlindungan terhadap diskriminasi anti-kesatuan yang lemah, prosedur pengiktirafan kesatuan yang rumit dan lambat, serta ketiadaan mekanisme perundingan kolektif bagi penjawat awam.

“ILO telah mengarahkan kerajaan supaya mengambil langkah segera untuk meminda undang-undang yang menghalang rundingan kolektif, menjamin perlindungan terhadap mangsa diskriminasi kesatuan dan mempercepat proses pengiktirafan kesatuan.

“Ini bukan nasihat biasa ia adalah arahan tegas yang perlu dipatuhi,” tegas Solomon lagi.

Beliau juga menggesa kerajaan agar menerima misi penasihat teknikal daripada ILO sebelum persidangan akan datang serta melaporkan perkembangan tindakan pembaikan selewat-lewatnya 1 September 2025.

Solomon menegaskan bahawa ini merupakan kemenangan moral buat MTUC dan semua pekerja di Malaysia yang selama ini dinafikan hak untuk bersuara secara bebas dan berorganisasi.

“Kesatuan sekerja bukan musuh negara. Kami adalah suara pekerja yang sah. Jika kerajaan benar-benar mahu membina masa depan pekerja yang adil dan bermaruah, maka suara kami perlu dihormati, bukan disekat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast