Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang pegawai kesihatan wanita kerugian hampir RM200,000 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan atas talian yang tidak wujud.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mangsa yang berusia 38 tahun terjumpa iklan kerja menaikkan ‘rating’ produk berjenama menerusi  aplikasi ‘Facebook’ pada 17 Mei lepas.

Katanya, pautan tersebut membawa mangsa ke aplikasi Telegram yang menawarkan tugasan menaikkan rating produk dengan diminta membuat bayaran bagi menerima komisen.

“Pada awalnya, mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM430.00 ke akaun suspek dan telah menerima keuntungan sebanyak RM575. Kemudian, bermula 17 Mei sehingga 4 Jun lepas, mangsa telah membuat 15 transaksi ke 12 akaun berbeza berjumlah RM184,123.20,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Yahaya berkata, tiada komisen diterima seperti dijanjikan, mengakibatkan mangsa mencari bantuan untuk menyelesaikan isu itu di aplikasi Facebook.

Mangsa katanya telah dihubungi seorang individu dari Rakyat Cyber Watch (Malaysia) dan berurusan dengan individu lain yang mendakwa sebagai peguam.

“Untuk ‘bantuan undang-undang’ tersebut, mangsa telah membuat tiga transaksi ke dua akaun berbeza berjumlah RM15,816.00. Namun, tiada wang dipulangkan,” tambah Yahaya.

Berikutan itu, mangsa mula menyedari telah diperdaya sekali lagi dan membuat laporan polis.

Yahaya memberitahu, jumlah keseluruhan kerugian adalah RM199,939.20 yang melibatkan wang simpanan dan pinjaman bank yang dibuat mangsa.

Justeru, beliau menasihati serta menegaskan agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast