Sekitar majlis Perasmian Sambutan Hari Air Sedunia 2025 Peringkat Kebangsaan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib, di sini hari ini.

KUANTAN – Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) meluluskan 38 projek pembangunan dengan kos keseluruhan berjumlah RM5.9 bilion bagi merancakkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur air di Pahang.

Timbalan Ketua Setiausaha (Air) Petra, Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri berkata, sejumlah RM504.2 juta daripada jumlah itu diperuntukkan melalui Rolling Plan Kelima (RP5) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tahun ini.

“Kerajaan Persekutuan yakin, dengan siapnya keseluruhan projek yang dilaksanakan agensi-agensi di bawah Petra seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bekalan Air (JBA), Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dapat mengatasi pelbagai isu dan cabaran serta akn memberi impak positif kepada penduduk Pahang,” katanya.

Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Hari Air Sedunia 2025 Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib, di sini hari ini.

Mengulas mengenai sambutan itu, Mohd Rodzwan berkata, Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 kali ini bertemakan ‘Air Untuk Kehidupan’ dengan slogan ‘AirKu, HidupKU, DuniaKU’ sejajar dengan komitmen global di bawah Agenda 2030 untuk pembangunan mampan negara.

Pemilihan Pahang bagi sambutan itu pula katanya adalah bertepatan dengan hubungan erat dengan air dipengaruhi geografi, ekonomi dan warisan budaya negeri ini.

Sambutan Hari Air Sedunia 2025 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama dua hari bermula 4 hingga 5 Julai turut menampilkan pameran agensi kerajaan dan swasta termasuk pameran Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) yang merupakan panduan strategik masa depan sektor air negara.

Dalam majlis hari ini juga, Petra turut menyampaikan Anugerah Pembangunan Sektor Air dan Anugerah Penyelidikan Ekohidrologi kepada penyelidik dan institusi pengajian tinggi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast