Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Polis sudah mengenal pasti dan bakal memanggil saksi penting dalam siasatan kes ugutan bunuh yang diterima seorang Exco Armada Bersatu Malaysia, untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, setakat ini pihaknya telah merakam keterangan daripada dua saksi susulan laporan polis dibuat oleh pengadupada jam 9.13 malam, 2 Julai lalu.

“Kami percaya keterangan daripada saksi ini penting untuk mengenal pasti pelaku serta memahami motif di sebalik ugutan tersebut. Setakat ini, masih belum ada sebarang tangkapan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pengadu yang juga seorang pengarah syarikat memaklumkan beliau menerima panggilan daripada seorang rakan pada 10.57 pagi, 2 Julai lalu yang memberitahu terdapat seorang lelaki yang didakwa sedang merancang untuk membunuhnya.

Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah menerusi penyamaran nama.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Tambah Sulizmie, hasil siasatan awal mendapati pengadu tidak mengenali individu yang dikatakan merancang untuk membunuhnya.

“Buat masa ini, polis sedang giat mengesan identiti suspek terlibat dan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut. Keselamatan pengadu juga diberi keutamaan,” katanya.

Sehubungan itu, ACP Sulizmie turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Pang Wei Keong di talian 013-2082391, atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, DSP Rosdi bin M. Husin di 013-3920694.

Baru-baru ini, Exco Armada, Na’im Brundage membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan bunuh dan cedera menggunakan asid oleh seorang individu yang tidak dikenali.

Na’im yang juga Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada mendakwa, beliau tidak menolak kemungkinan ancaman itu bermotifkan politik, memandangkan bergiat aktif dalam dunia politik dan lantang menyuarakan pandangan secara terbuka di media sosial serta media massa.

Menurut Na’im, beliau tidak menolak kemungkinan ancaman itu bermotifkan politik, memandangkan bergiat aktif dalam dunia politik dan lantang menyuarakan pandangan secara terbuka di media sosial dan media massa. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast