KUANTAN – Seorang pesara jurutera ditemui meninggal dunia di tepi pantai selepas melakukan aktiviti menyelam di Pantai Kampung Paya, Pulau Tioman, Rompin semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa, Low Choon Foi, 72, berasal dari Johor Bahru,
Menurutnya, warga emas itu bersama 14 rakan dari Singapura mendaftar masuk ke sebuah resort di kampung itu pada 10.30 pagi semalam dan dijangka pulang hari ini.
”Mangsa turun ke Pantai Kampung Paya untuk melakukan aktiviti menyelam bersama seorang rakan pada 6.30 petang. Pada 7.40 malam, Choon Foi ditemukan tepi pantai dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri oleh rakannya dengan keadaan mulut berbuih,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Susulan itu rakan mangsa meminta bantuan untuk membawa lelaki itu ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek di pulau berkenaan.
Hasil pemeriksaan awal ke atas fizikal mangsa mendapati tiada unsur perbuatan jenayah.
Pada pukul 9.20 malam tadi, pegawai perubatan mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia. – MalaysiaGazette
















