KUALA LUMPUR – Armada BERSATU Malaysia mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti yang sah susulan usul kontroversi oleh Bahagian Port Dickson parti itu yang mencadangkan jawatan itu digantikan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid menegaskan, Muhyiddin masih memegang mandat penuh daripada ahli parti di seluruh negara dan kekal sebagai simbol kestabilan serta prinsip perjuangan Bersatu.
Menurutnya, usul yang dibawa oleh bahagian berkenaan bukan sahaja bersifat tidak matang malah dilihat sebagai cubaan mencetuskan kekeliruan serta mendapatkan publisiti murahan.
“Tan Sri Muhyiddin adalah Presiden yang mendapat mandat penuh daripada seluruh akar umbi untuk memimpin parti sehingga tamat penggal.
“Sokongan terhadap beliau dalam kalangan pimpinan dan ahli adalah kukuh dan tidak berbelah bahagi sehingga saat ini,” dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Bersatu Bahagian Port Dickson telah meluluskan satu usul mencadangkan supaya Muhyiddin memainkan peranan sebagai penasihat parti manakala jawatan Presiden diserahkan kepada Hamzah Zainuddin.
Usul itu telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan ahli dan pemerhati politik, termasuk tuduhan bahawa ia didalangi oleh kumpulan tertentu yang tidak sabar menantikan peralihan kuasa dalam parti.
Harris turut menyifatkan tindakan Bahagian Port Dickson itu sebagai tidak bertanggungjawab dan langsung tidak mencerminkan suara majoriti akar umbi.
Beliau berkata Armada Bersatu akan terus mempertahankan institusi Presiden daripada sebarang bentuk ancaman dalaman mahupun luaran.
“Kami melihat usul tersebut sebagai usaha terancang untuk melemahkan kepimpinan parti. Namun kami ingin tegaskan Armada tidak akan berkompromi dalam hal melibatkan kestabilan organisasi dan kesetiaan kepada pimpinan utama,” tegasnya.
Tambah beliau, sebarang cadangan atau perubahan besar dalam kepimpinan perlu dibincangkan secara telus dan beradab mengikut saluran parti bukan dibuat secara tergesa-gesa melalui usul separuh masak yang hanya menimbulkan persepsi buruk kepada parti.
Harris menyeru seluruh kepimpinan dan ahli Bersatu agar mengekalkan kesatuan dan fokus terhadap usaha mengukuhkan parti menjelang pilihan raya akan datang. -MalaysiaGazette
















