KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mengambil Shun Yong, seorang lagi mahasiswa sebagai anak angkat selepas menelusuri kisah perjuangan hidup remaja ini yang menyentuh hati.
Tulis Stevan, pelajar tahun dua Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang ini kehilangan ibu sewaktu di Tingkatan Dua dan tidak pernah mengenali ayah kandungnya.
Sejak itu, Shun Yong dibesarkan oleh neneknya yang kini berusia 87 tahun dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Walaupun hidup dalam serba kekurangan, Shun Yong tetap berusaha gigih untuk berjaya dalam pelajaran. Dia memperoleh keputusan cemerlang ‘4 flat’ dalam STPM dan berjaya melanjutkan pengajian ke USM,” kata Steven dalam Facebook beliau.
Namun, cabaran Shun Yong tidak terhenti di situ kerana pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diterima tidak mencukupi menyebabkan dia bekerja sambilan setiap kali cuti semester untuk menampung hidup.
“Beberapa bulan lalu, dia hampir tidak dapat mendaftar semester kerana tidak mampu membayar yuran. Mujur ada seorang individu prihatin, Uncle Ooi, yang selama ini membantunya, menghubungi saya dan memaklumkan keadaan beliau. Saya segera bantu langsaikan yurannya,” kata Steven.
Beliau menambah, baru-baru ini Shun Yong kembali menghubunginya, memohon sedikit bantuan untuk membaiki komputer riba yang rosak untuk menyempurnakan tugasan universiti.
“Saya ke USM dengan hasrat untuk membelikannya komputer baharu. Tapi rupa-rupanya, Uncle Ooi sudah pun mendahului saya dengan membelikan laptop baharu untuk Shun Yong kerana tidak sanggup melihat anak muda itu terus bergantung pada komputer lama yang uzur,” ujarnya.

Steven berkata, Uncle Ooi yang tidak mempunyai sebarang hubungan darah dengan pelajar itu, namun tetap menjadi pelindung dalam diam adalah contoh ketulusan hati yang jarang ditemui.
“Dalam dunia yang sering sibuk dengan urusan sendiri, masih ada insan seperti Uncle Ooi. Yang tidak menunggu untuk dirayu. Yang tidak menghakimi. Yang sentiasa bersedia membantu, hanya kerana hatinya penuh kasih,” katanya.
Shun Yong adalah empat anak angkat Steven di kampus USM, termasuk Amirul, Jin Wei dan Teck Qing.
Dalam perkongsiannya, Steven turut mempertemukan Shun Yong dengan Teck Qing yang kini aktif mengajar kelas Judo bagi menampung perbelanjaan belajar.
“Saya berseloroh, penampilan Teck Qing kini lebih segak berbanding ketika kami mula berkenalan dahulu. Saya harap mereka saling menjaga antara satu sama lain seperti adik-beradik. Dua-dua pun anak saya sekarang,” katanya.
Steven menegaskan muda seperti Shun Yong dan Teck Qing adalah harapan masa depan negara.
“Mereka tidak meminta simpati. Mereka hanya perlukan peluang. Dan jika kita mampu membuka satu pintu buat mereka, siapa tahu suatu hari nanti mereka akan membina seribu lagi jalan untuk orang lain,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















