KUALA LUMPUR – Polis telah merakam keterangan keluarga kandung kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang maut dipercayai akibat didera oleh ibu bapa angkatnya di sebuah kediaman di Paya Jaras, Sungai Buloh pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, keterangan tersebut diambil untuk membantu siasatan lanjut kes berkenaan yang kini diklasifikasikan kes penderaan kanak-kanak sehingga membawa maut.
“Setakat ini, siasatan terhadap kedua-dua suspek masih diteruskan dan kedua-dua mereka akan direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal pihak polis juga mendapati, mangsa telah dijaga oleh pasangan tersebut sejak berusia tujuh bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dibawa ke zon kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 10.45 malam sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Pemeriksaan lanjut terhadap mayat mangsa mendapati terdapat kesan lebam, bengkak dan luka di seluruh badan selain tompokan darah kering pada bahagian mulut dan hidung.
Siasatan awal juga mendapati kanak-kanak itu dihantar ke hospital oleh sepasang lelaki dan wanita tempatan yang mengaku sebagai keluarga angkat mangsa.
Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek masing-masing berusia 27 dan 28 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. – MalaysiaGazette
















