JOHOR BAHRU – Palsukan dokumen kastam bagi mengeluarkan kontena yang tidak diikrar dengan bahan radioaktif diseludup tapi mengaburi pihak penguat kuasa dengan mengisytiharkannya sebagai barang mainan, produk tenusu dan tekstil.
Itu modus operandi digunakan untuk membawa masuk bahan radioaktif dari luar negara untuk pelbagai kegunaan termasuk boleh disalahgunakan pihak pengganas untuk dijadikan bom.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenga Atom Malaysia (Atom Malaysia), Monalija Kostor berkata, taktik tersebut terbongkar selepas ia berjaya dihidu selepas pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa.
Beliau berkata, cubaan menyeludup pelbagai bahan radioaktif itu dilakukan menerusi jalan darat dan laut melibatkan kawasan sempadan seluruh negara dengan purata kitr-kira 15 kes setahun.
Jelas Monalija, sindiket cuba membawa masuk menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menerusi pintu masuk di Pulai Pinang.
Menurutnya, antara cubaan yang paling kerap dilakukan adalah di Pelabuhan Klang, Selangor dengan mengikrarkan bahan lain tetapi sebenarnya bahan radioaktif.
“Kita banyak melakukan pengesanan aktiviti penyeludupan bahan radioaktif di sempadan atau pintu masuk negara menerusi pemasangan Radiation Portal Monitors (RPMs) yang terdapat di pintu masuk negara.
“Kebanyakannya diseludup dari negara luar termasuk atau bahan itu keluar dari negara kita sendiri tanpa lesen. Aktiviti ini yang dijalankan secara haram tanpa kebenaran boleh mengundang kemudaratan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Multilateral Nuclear Security Detection Exercise, Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapore 2025 (MITSATOM 2025) di Double Tree by Hilton Hotel di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Atom Malaysia, Noraishah Pungut serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin.
Mengulas lanjut, Monalija berkata, bahan radioaktif itu diseludup untuk kegunaan antaranya industri minyak dan gas, elektronik, penyelidikan serta perubatan.
Katanya lagi, bahan radioaktif itu yang sangat berbahaya apabila terdedah kepada umum diseludup bagi mengurangkan kos import bahan tersebut secara sah melibatkan lebih RM1 juta setiap satu bergantung jenis bahan radioaktif.
Katanya, menerusi cara itu, mereka akan mendapat untung berlipat kali ganda tanpa menyedari kesannya yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai dan boleh menjejaskan keselamatan negara – MalaysiaGazette
















