Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon melucut hak wang tunai berjumlah RM169 juta dalam pelbagai mata wang tempatan dan asing milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

SPRM yang diwakili pendakwaraya memfailkan permohonan itu di Mahkamah Sesyen hari ini dengan menamakan bekas Setiausaha Politik Ismail Sabri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus dan Perdana Menteri Kesembilan itu sebagai responden pertama dan kedua.

Kesemua wang tunai yang dimohon untuk dilucuthakkan itu ialah RM14,772,150; SGD$6,132,350 (Dolar Singapura); AS$1,461,400 (Dolar Amerika) dan CHF 3 juta (Swiss Franc); €12,164,150 (Dolar Euro); ¥363,000,000 (Yen), £50,250 (Pound Sterling); NZ$44,600 (Dolar New Zealand) AED 34,750,000 (Emirati Dirham) dan AU$352,850 (Dolar Australia).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menunjukkan barangan rampasan selepas sidang media berkaitan kes sitaan RM170 juta pelbagai matawang asing dan 16kg jongkong emas melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 03 MAC 2025. (GAMBAR FAIL)

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 selepas agensi itu berpuas hati bahawa wang yang disita dan disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta itu.

SPRM turut memohon perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 25 Jun lalu, media melaporkan kesemua aset termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam safehouse yang dikaitkan dengan Ismail Sabri bakal dilucut hak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan memohon melucuthakkan kesemua aset itu dalam masa terdekat.

Azam turut mengesahkan kes membabitkan Ahli Parlimen Bera itu juga sudah selesai dan kini bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk membuat pertuduhan berkaitan jenayah membabitkan Ismail Sabri.

Antara barangan rampasan dipamerkan pada sidang media berkaitan kes sitaan RM170 juta pelbagai matawang asing dan 16 kilogram jongkong emas melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 03 MAC 2025. (GAMBAR FAIL)

Pada sidang media Mac lalu, SPRM mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan wang tunai ratusan juta ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah safehouse berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast