ultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang baharu, Mohd. Razam Taja Rahim.
KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang baharu, Mohd. Razam Taja Rahim baru-baru ini.
Dalam sesi menghadap tersebut, Tuanku menzahirkan penghargaan terhadap peranan penting yang dimainkan oleh JBPM dalam menjaga keselamatan rakyat serta menangani insiden kecemasan di negeri ini.
Sultan Abdullah turut menekankan bahawa bidang tugas bomba adalah sangat signifikan dan perlu sentiasa diperkasakan dari semasa ke semasa.
“Tuanku turut menitahkan agar mutu perkhidmatan kebombaan di Pahang ditingkatkan menerusi pendekatan proaktif, khususnya dalam aspek penyampaian kempen keselamatan serta pemerkasaan Bomba Komuniti.
“Paduka Baginda memberikan penekanan terhadap kepentingan perluasan inisiatif ini di kawasan luar bandar termasuk Pulau Tioman serta kawasan lain yang berisiko dan terpencil.
“Dalam titah baginda, jabatan-jabatan kerajaan diseru agar sentiasa dilihat ‘ada’ bersama rakyat atau “show off present”, sebagai satu cara untuk memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap kehadiran dan keberkesanan agensi kerajaan.
“Pendekatan ini dilihat mampu memacu tindakan segera apabila berlaku sebarang kecemasan atau insiden.
“Tuanku Sultan turut menyuarakan harapan agar dengan pelantikan kepimpinan baharu JBPM Pahang, lebih banyak inisiatif berimpak tinggi dapat dilaksanakan, khususnya dalam penambahan balai-balai bomba di kawasan strategik, bagi memperkukuhkan keupayaan tindak balas pasukan penyelamat di seluruh negeri,” kata Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang dalam satu hantaran di Facebook rasmi miliknya di sini.
Turut mengiringi dalam sesi menghadap tersebut ialah Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Negeri Pahang, Mohd Salahuddin bin Isa dan Pegawai Perhubungan Awam Negeri, PPgB Zulfadli Zakaria.
Sesi menghadap ini mencerminkan sokongan padu daripada pihak istana terhadap usaha memperkasakan perkhidmatan kebombaan di negeri Pahang, seiring dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast