Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR – Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia disahkan menarik diri daripada menyertai kejohanan Terbuka Jepun 2025 yang akan membuka tirainya pada 15 Julai hadapan sehingga 20 Julai di Tokyo, Jepun.

Ketiadaan Zii Jia diumumkan menerusi suatu kemas kini senarai pemain bertanding yang dipaparkan di laman rasmi Badminton World Federation (BWF).

Dengan ketiadaan Lee Zii Jia ini, cabaran perseorangan lelaki Malaysia bakal digalas oleh seorang lagi wakil negara, Leong Jun Hao yang kini berada di ranking ke-25 dunia.

Sebelum ini, Zii Jia dilaporkan bakal melakukan kemunculan semula di Terbuka Jepun selepas dibelenggu isu kecederaan sejak tahun lalu.

Kecederaan yang dialami beliau ketika aksi di World Tour Finals 2024 lalu telah banyak menggangu perancangan kariernya pada musim ini apabila hanya beraksi dua kali sahaja.

Kali terakhir pemain berusia 27 tahun ini turun beraksi adalah ketika kejohanan All England pada Mac lalu namun dia kecundang di pusingan awal kepada pemain Hong Kong, Ng Ka Long.

Baru-baru, Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan Zii Jia berada dalam keadaan baik dan tiada perkara yang perlu dibimbangkan mengenai tindakannya berkongsi beberapa lakaran misteri di media sosial.

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata, pihaknya selain Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sudah menghubungi Team LZJ bagi mendapatkan kepastian mengapa Zii Jia bertindak sedemikian.

Hantaran misteri dibuat Zii Jia menimbulkan spekulasi mengenai maksud di sebalik perkongsian berkenaan termasuk wujud dakwaan pemain berusia 27 tahun itu mungkin sedang berdepan masalah peribadi atau mental. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast