Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Sebanyak 68 pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dari 15 negara anggota Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) menggesa kerajaan masing-masing supaya tidak memasukkan semula mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) ke dalam perjanjian perdagangan tersebut.

Antara CSO dari Malaysia yang menandatangani surat itu ialah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Positive Malaysian Treatment Access & Advocacy Group (MTAAG+), Sahabat Alam Malaysia dan Third World Network.

Menurut Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, terdapat banyak kes syarikat multinasional, termasuk syarikat bahan api fosil, menggunakan ISDS untuk mencabar tindakan kerajaan yang ingin menangani krisis iklim dan kes seperti itu telah menjejaskan kewangan serta kedaulatan negara terlibat.

“Ketika rundingan RCEP dahulu, kerajaan Malaysia merupakan antara pihak yang mencadangkan ISDS dikeluarkan daripada perjanjian tersebut, namun ahli RCEP bersetuju untuk “memulakan perbincangan” mengenainya dua tahun selepas perjanjian berkuat kuasa pada Jun 2023.

“Sehubungan itu, CSO menegaskan bahawa ISDS tidak selari dengan matlamat pembangunan mampan dan boleh mendatangkan risiko besar kepada negara-negara berpendapatan rendah.

”Justeru kita menggesa kerajaan Malaysia untuk terus mempertahankan pendirian agar ISDS kekal dikeluarkan daripada RCEP,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

ISDS merupakan sistem kontroversi yang membolehkan pelabur asing menyaman kerajaan apabila dasar atau undang-undang negara memberi kesan kepada keuntungan mereka, meskipun dasar itu digubal demi kepentingan awam seperti perlindungan alam sekitar dan kesihatan awam.

Negara anggota RCEP ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Australia, China, Jepun, Korea dan New Zealand. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast