GEORGE TOWN – Seorang bekas pengurus bank  kerugian RM680,781 selepas diperdaya sindiket phone scam yang menyamar sebagai pegawai agensi kerajaan dan polis, pada bulan lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, mangsa berusia 80 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa wakil Cyber Security Putrajaya ketika berada di rumahnya di Tanjung Bungah pada 12 Jun lalu.

Jelas beliau, suspek memaklumkan kononnya nombor telefon mangsa terlibat dalam penyebaran maklumat palsu dan telah disenarai hitam oleh pihak berkuasa.

“Panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai polis dari Balai Polis Alor Setar sebelum suspek mendakwa akaun bank mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Mangsa diminta membuka dua akaun bank baharu atas namanya di CIMB dan BSN kononnya bagi tujuan ‘membersihkan’ namanya dan mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

“Pada 13 Jun, mangsa membuka akaun seperti diarahkan dan seterusnya membuat empat transaksi pemindahan wang secara atas talian ke dalam akaun baharu itu yang keseluruhannya berjumlah RM680,781,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, mangsa kemudian diarahkan menyerahkan semua kad bank, kad kredit serta slip pembukaan akaun dengan memasukkan dokumen tersebut ke dalam satu sampul surat sebelum diletakkan di atas sebuah kotak pencawang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran cawangan Maybank Tanjung Bungah.

“Selepas membuat semakan pada 26 Jun, mangsa mendapati wang dalam ketiga-tiga akaun itu telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga yang tidak dikenalinya.

“Sedar mangsa diperdaya dia tampil membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kelmarin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast