KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi berpendirian, sabitan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes rasuah projek solar tidak boleh disandarkan sebagai bukti beliau berperwatakan buruk yang boleh mengurangkan kuantum ganti rugi yang patut diterimanya.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh berkata, sabitan tersebut tidak boleh diterima sebagai bukti bahawa Rosmah selaku plaintif perwatakan buruk, mahupun memadamkan hak beliau untuk membersihkan reputasi.
“Ganti rugi dalam tuntutan saman fitnah harus dinilai tanpa merujuk kepada sabitan salah, tanpa mengira graviti atau tahap keseriusan sabitan tersebut,” ujarnya dalam prosiding taksiran ganti rugi melibatkan isteri bekas Perdana Menteri.
Hakim berkenaan memutuskan seorang pemegang akaun TikTok membayar ganti rugi RM100,000 kepada Rosmah kerana memfitnah beliau mengamalkan ilmu hitam pada dua tahun lalu.
Isteri bekas Perdana Menteri menyaman Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, bagi menuntut ganti rugi RM1 juta kerana memfitnah beliau dalam rakaman video berkenaan yang disiarkan pada 22 Mac 2023.
Mahkamah berpuas hati, ganti rugi RM100,000 merupakan jumlah adil dan seimbang iaitu merangkumi ganti rugi am dan ganti rugi teruk.
Ujar beliau, ganti rugi teladan bagaimanapun tidak dibenarkan kerana tiada bukti kukuh dikemukakan di hadapan mahkamah bagi menyokong pemberian ganti rugi itu. Mahkamah turut memberikan kos RM20,000 kepada Rosmah.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Ahmad Shahrir menyatakan, penghakiman terdahulu Mahkamah Rayuan dengan jelas menolak kebolehterimaan sabitan untuk menunjukkan perwatakan buruk individu.
“Keputusan terdahulu menyediakan perlindungan kepada individu yang telah disabitkan kesalahan dengan menghalang penggunaan sabitan jenayah untuk merendahkan reputasi mereka,” ujar beliau.
Dalam keputusannya, hakim berkenaan turut memetik prinsip undang-undang dalam kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Datuk S. Nallakarupan bahawa sabitan jenayah tidak boleh dijadikan asas untuk mengurangkan kuantum ganti rugi.
Menurut Hakim Ahmad Shahrir, beliau mendapati, fitnah yang dilemparkan terhadap plaintif mengaitkan penglibatannya dalam amalan ghaib dan entiti kerohanian.
Ujar hakim itu, tuduhan tersebut menyerang wataknya dari segi integriti agama dan moral dalam konteks masyarakat di mana nilai keagamaan dan moral membawa signifikasi yang ketara.
“Dakwaan sedemikian dianggap serius dan berpotensi memudaratkan reputasi dengan cara yang berbeza,” ujar beliau.
Dalam keputusan itu, hakim berkenaan turut menyentuh kedudukan Rosmah sebagai isteri bekas Perdana Menteri yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik yang kukuh malah pernah berkerjaya profesional termasuk sebagai eksekutif di Bank of Thailand.
Ujarnya, plaintif juga aktif dalam inisiatif kebajikan dan kesejahteraan dan bertindak sebagai penaung pelbagai badan bukan kerajaan dan yayasan termasuk Program Permata Pintar.
Hakim itu menyatakan mahkamah mengambil maklum pada 1 September 2022, plaintif disabitkan oleh Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak dan denda keseluruhan sebanyak RM970 juta.
Bagaimanapun, pada 22 Mac 2023, kira-kira enam bulan selepas sabitan, defendan menerbitkan video di TikTok menggunakan nama pengguna CEOHealMeFighter dan membuat kenyataan memfitnah Rosmah.
Pada 19 September 2023, Rosmah menyaman pemilik akaun
TikTok itu kerana membuat kenyataan dalam video yang mencemar nama baik dan reputasinya selain memberi gambaran beliau gagal mempraktikkan nilai-nilai Islam.
Dalam afidavit yang diikrarkannya bagi menyokong taksiran ganti rugi, isteri bekas Perdana Menteri menyatakan, jumlah RM1 juta itu wajar kerana kenyataan fitnah tersebut merosakkan reputasi beliau.
Rosmah memohon ganti rugi dengan mengambil kira status, latar belakang, pencapaiannya dalam masyarakat selain mempertimbang reputasi beliau sebagai figura yang dikenali serta penaung kepada beberapa badan amal di negara ini.
Pada 28 Mei 2024, media melaporkan, Rosmah memperoleh penghakiman ingkar dari Mahkamah Tinggi selepas Ku Muhammad Hilmie gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan.
Pada prosiding itu, Rosmah diwakili peguam-peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Fitnah Rosmah amal ilmu hitam, pemilik akaun TikTok diperintah bayar ganti rugi RM100,000
















