Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap ketika sesi bicara pada program INTAN Minister's Conversation (IMC) 2025 bertajuk Negara Kita, Keselamatan Tanggungjawab di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mendaftar kira-kira 37,000 pelarian yang ada di negara ini dalam usaha mengumpul data golongan berkenaan menerusi inisiatif Data Pendaftaran Pelarian (DPP).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam masa sama, pihaknya turut menjalankan projek perintis untuk mendaftar pelarian yang kini berada di depot-depot tahanan di seluruh negara.

Jelas beliau, usaha mendapatkan butiran pelarian itu bertujuan ke arah perkongsian data yang dikumpul oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menandatangani plak selepas selesai sesi bicara pada program INTAN Minister’s Conversation (IMC) 2025 bertajuk Negara Kita, Keselamatan Tanggungjawab di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 JULAI 2025

 

 

“Kita sebelum ini ada masalah dari segi memiliki data pelarian yang kredibel dan sebelum ini usaha itu dilakukan oleh UNHCR.

“Jadi, KDN telah diminta untuk mengetuai proses pendaftaran itu dan proses perolehan itu sedang berjalan dan ia mengambil masa yang panjang kerana kita perlu melantik vendor untuk membangunkan sistem selain menggunakan infrastruktur yang dimiliki KDN sendiri khususnya melalui Jabatan Imigresen,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan pada program INTAN Minister’s Conversation (IMC) 2025 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution itu berkata, data pelarian itu penting supaya UNHCR dapat menggunakannya bagi mencari negara-negara ketiga untuk menempatkan pelarian tersebut.

Bagaimanapun, menurut beliau, buat masa ini, jumlah penghantaran pelarian itu merosot mendadak disebabkan Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini menjadi negara penerima terbesar pelarian telah mengubah polisi di bawah pentadbiran baharu.

Disebabkan itu, ujarnya, Malaysia perlu merangka pelan seterusnya dalam menguruskan pelarian-pelarian tersebut secara komprehensif, namun tidak berkompromi dalam isu keselamatan negara tetapi masih tetap bersifat manusiawi.

Ia jelas beliau, termasuk dari segi memastikan pelarian itu masih mendapat akses kepada pendidikan serta kesihatan khususnya menerusi sokongan daripada pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Tetapi kita kena ingat, dari sisi lain, merawat pelarian ini akan meninggalkan bil hospital yang tidak berbayar, jadi perkara ini pun menjadi isu kepada negara.

“Sebab itu kita kena seimbangkan semua perkara, jadi sebagai permulaannya, kita mesti ada data yang tepat dan kredibliti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast