KUANTAN – Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan dirempuh dua kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 207.2, Lebuhraya Pantai Timur 1, di sini tengah malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Manakala kedua-dua pemandu Ford Ranger itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan terlibat dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan dalam nahas kira-kira pukul 12.55 tengah malam itu.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal ditunggang pelajar itu yang berada di lorong kiri dipercayai terbabas ke lorong kanan.
“Dua kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang berada dari lorong kanan tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Siasatan di lokasi mendapati keadaan jalan basah akibat hujan serta tahap pencahayaan yang gelap.
Kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















