Sumber :Istana Pahang

PEKAN – Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung penyebaran video yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) wajah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, laporan berkenaan telah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

“Kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Selain daripada itu, kita juga dapati nombor akaun yang disertakan dalam video itu adalah palsu.

“Jadi kita rujuk kepada pihak SKMM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman (berdiri lapan dari kiri) bergambar kenangan dengan pegawai dan anggota sempena Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Kontinjen Pahang yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Kontinjen Pahang yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini hari ini.

Menurut Yahaya, laporan polis itu dibuat pihak Istana Pahang susulan beberapa klip video palsu itu dikesan disebarkan menerusi akaun pengguna di aplikasi Tiktok kononnya menghebahkan tawaran bantuan kepada rakyat.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar lebih peka dan meneliti sebarang maklumat yang diperoleh menerusi media sosial, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan institusi diraja.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Kontinjen Pahang yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan

“Pihak Istana Pahang juga ada buat laporan menyatakan ia tidak benar. Saya harap masyarakat peka perihal ini,” katanya.

Terdahulu, Portal Rasmi Istana Pahang dua hari lepas memaklumkan mengenai penyebaran video-video tersebut dan menasihati agar masyarakat tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung di dalamnya.

Istana Pahang turut menegaskan bahawa Al-Sultan Abdullah tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial Kesultanan Pahang dan Facebook Kesultanan Pahang dengan kira-kira 725,000 orang pengikut.

Manakala di platform media sosial lain seperti instagram, TikTok, Youtube, Threads dan aplikasi X hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast