Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mencadangkan semakan semula terhadap prosedur pengambilan dan penamatan anggota agar hanya individu yang benar-benar berwibawa dipilih untuk menyertai agensi itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ketegasan dalam aspek sumber manusia penting bagi memastikan AKPS tidak menjadi tempat bersarangnya budaya penyalahgunaan kuasa, khususnya dalam isu ketirisan dan penyeludupan.

“Sebab itu saya sangat tekankan soal integriti. Saya tidak akan berkompromi jika ada pegawai yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan.

“Kita akan cadangkan prosedur pengambilan dan penamatan yang lebih tegas, supaya hanya mereka yang benar-benar berwibawa diberi kepercayaan untuk berkhidmat dalam AKPS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, AKPS kini menggabungkan pelbagai fungsi dan kuasa dari agensi-agensi sedia ada.

“Apabila kita gabungkan pelbagai kuasa dan tanggungjawab, ruang dan peluang untuk berlakunya perkara yang tidak sihat itu menjadi lebih luas.

“Jadi, kita bukan sekadar perlu bina sistem operasi yang baik, tetapi juga sistem nilai dan integriti yang kukuh dalam organisasi,” ujarnya.

Sementara  itu, Mohd Shuhaily juga menegaskan pentingnya membentuk budaya kerja yang profesional dan bersatu dalam kalangan pegawai daripada pelbagai latar belakang agensi.

“Cabaran pertama saya adalah menyatukan semua agensi di bawah AKPS sebagai satu keluarga, dan menanamkan budaya yang dihajatkan kerajaan – budaya integriti, profesionalisme dan cekap.

“Bila semua pegawai faham matlamat dan nilai ini, barulah kita boleh bergerak sebagai satu pasukan yang benar-benar efektif,” katanya.

Tambah beliau, nilai kekeluargaan yang dibina dalam AKPS juga perlu menjadi benteng awal kepada godaan luar dan salah guna kuasa.

“Kita sedang bina dari bawah. Tapi saya percaya, kalau semua pihak dalam AKPS saling mempercayai dan mempunyai nilai integriti yang tinggi, kita boleh jadi agensi yang diyakini rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast