KUALA LUMPUR – Sudahlah kejayaan memenangi pingat emas di pentas dunia tidak ‘dipandang’ kerajaan, kini seorang atlet kurang upaya diberi tekanan untuk meminta maaf bagi menutup kelemahan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Juara Kejohanan Muay Thai Dunia 2025 di Antalya, Turkiye, Muhammad Firdaus Aiman Khairuddin berkata, perkara itu diberitahu Persatuan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) melalui ibunya, baru-baru ini.
“Ibu beritahu saya, nama saya tengah ‘naik’ dalam persatuan (PKOKM) sebab kes saya dengan KBS.
“Lepas itu, KBS minta saya mohon maaf,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Pada 2 Jun lalu, MalaysiaGazette melaporkan KBS didakwa mengamalkan sikap pilih kasih dan tidak profesional dalam menilai potensi atlet kurang upaya meskipun sudah mengharumkan negara.
Perkara itu diluahkan sendiri Aiman kepada MalaysiaGazette kerana prestasi cemerlangnya di Antalya, Turkiye tidak mendapat penghargaan, jauh sekali disambut wakil KBS sebaik sahaja kepulangannya ke tanah air, 30 Mei lalu.
Biarpun perkara itu sudah berlalu lebih sebulan lalu, namun sehingga kini KBS masih membisu, jauh sekali bertemu dengan Aiman untuk menyelesaikan isu dengan baik.
Selain itu, Aiman melahirkan kebimbangan kerana kesihatan ibu kerana KBS ‘menggunakan’ persatuan orang kurang upaya (OKU) itu untuk mendesak dia meminta maaf kepada KBS selepas ditemuramah MalaysiaGazette, 2 Jun lalu.
“Ibu saya menghidapi penyakit darah tinggi yang kronik, saya hairan kenapa KBS tidak hubungi saya terus, tapi KBS gunakan persatuan OKU dan PKOKM pula hubungi ibu saya untuk beri tekanan.
“Saya bimbang ibu saya boleh jatuh sakit balik jika ibu saya terus dijadikan ‘orang tengah’ untuk desak saya mohon maaf,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















