Muhammad Fauzan Md Yassin

JOHOR BAHRU – UMNO didakwa sudah panik hingga menyebabkan Pemuda UMNO Johor mendakwa presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah meniup semboyan agar bangkit dan merampas kerusi pembangkang pada pilihan raya umum (PRU).

Penolong Setiausaha Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor, Muhammad Fauzan Md Yassin berkata, ‘seruan’ itu bukan kerana UMNO sudah kembali kuat tetapi terperangkap dalam bayang-bayang ketakutan terhadap penyusutan sokongan rakyat.

“Rakyat sudah muak dengan ‘semboyan kosong’. Ucapan penuh retorik tidak mampu menyembunyikan hakikat bahawa UMNO dan sayap Pemudanya masih tiada arah dan tiada gagasan.

“Apa gunanya melaung semboyan jika isinya hanyalah dendam politik dan mimpi silam?

“Sementara Zahid sibuk melaungkan tentang ‘rampasan kerusi’, rakyat di bawah terus bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, sistem percukaian yang menekan dan dasar kerajaan yang semakin menjauh dari denyut nadi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Dr Muhammad Aswad Ithnain menyifatkan ucapan Ahmad Zahid ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Sri Gading Sabtu lalu sebagai satu semboyan kebangkitan.

Ahmad Zahid dalam ucapannya mahu UMNO merampas kerusi-kerusi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas pada PRU -16 nanti.

Menyifatkan dakwaan Pemuda Johor bermotifkan dendam, Muhammad Fauzan berkata, Armada Johor tidak akan terjebak dalam permainan politik usang seperti itu sebaliknya kekal fokus pada penyelesaian sebenar masalah rakyat.

“Jika semboyan dan gelombang Zahid Hamidi itu menjadi kebanggaan Pemuda UMNO Johor, kami hanya mampu menjawab, itu bukan gelombang kebangkitan. Itu gelora panik menjelang PRN dan PRU,” katanya.

Armada Johor katanya, akan terus berkhidmat, bukan dengan menunggu semboyan tetapi bergerak dengan kerja, solusi dan mendampingi rakyat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast