KUANTAN – Pergerakan Pemuda UMNO Pahang mengecam tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang didakwa lambat mengakui kewujudan Titah Adendum berhubung Datuk Seri Najib Razak.
Tindakan itu dikatakan bukan sahaja mengecewakan malah mencerminkan satu kegagalan besar dalam menjalankan tanggungjawab sebagai penjaga utama undang-undang negara.
Menurut Ketuanya, Mohd Kamil Ibrahim, ia bukan kesilapan biasa tetapi ini satu bentuk pengkhianatan terhadap kedaulatan undang-undang dan penghinaan terhadap institusi diraja.
“Lebih membimbangkan jika perkara sebegini boleh berlaku terhadap seorang bekas Perdana Menteri, maka apalah nasib rakyat biasa seperti kami.
“Jika hak seorang pemimpin negara pun boleh dinafikan, tidak mustahil rakyat marhaen akan terus dipinggirkan dan dizalimi tanpa pembelaan,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Mohd Kamil, kesan daripada perkara itu berpotensi disalah tafsir kerana Institusi undang-undang dan kehakiman dilihat berat sebelah, tidak lagi bebas selain menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan.
Malah, katanya Kedaulatan Raja-Raja Melayu tercabar akibat kegagalan penjawat awam menjunjung titah dan negara berisiko berdepan krisis perlembagaan yang lebih besar pada masa hadapan.
“Tindakan AGC ini adalah satu amaran bahawa sistem sedang pincang.
“Kami menuntut AGC tampil memberi penjelasan secara terbuka kepada rakyat dan mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan ini,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
AGC akui kewujudan titah adendum namun pertikai cara dikemuka di mahkamah
















