Afdlin Shauki dilantik sebagai Pengerusi Anak Syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan iaitu YWP Media Sdn Bhd berkuat kuasa 1 Mei 2023.

KUALA LUMPUR – Akhbar Wilayahku yang bernaung di bawah syarikat YWP Media Sdn. Bhd. (YWP Media) sejak Januari 2019 telah mengumumkan penutupan operasi berkuatkuasa serta merta pada1 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif, Yayasan Wilayah Persekutuan, Dr. Abdul Basir V. Kunhimohamed menerusi memo dalaman berkata, langkah itu terpaksa diambil susulan keadaan kewangan syarikat yang kritikal dan tidak memungkinkan kelangsungan operasi.

Beliau berkata, keputusan menutup operasi juga diluluskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.

“Dalam Mesyuarat Khas Bil. 2/2025 Ahli Lembaga Pengarah YWP Media yang bertarikh pada 30 Jun 2025 telah memuktamadkan dan keputusan tersebut diluluskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) melalui Abdul Basir selaku Pengerusi dalam Mesyuarat Pelaksanaan Tindakan Segera Ketetapan Agenda Berkaitan Anak-Anak Syarikat Pasca Mesyuarat ALPA Bil. 2/2025 pada 4 Julai lalu.

“Sehubungan itu, semua perkhidmatan kakitangan sama ada tetap mahupun kontrak ditamatkan berkuat kuasa 1 Julai lalu mengikut terma-terma yang dinyatakan dalam surat tawaran kakitangan.

“Surat rasmi penamatan akan dikeluarkan oleh Jabatan Sumber Manusia YWP Media kepada setiap kakitangan, selewat-lewatnya8 Julai,” katanya menerusi memo yang diterima oleh kakitangan akhbar itu.

Wilayahku merupakan sebuah akhbar mingguan yang dilancarkan sejak 4 Januari 2019 di mana penerbitannya khusus untuk mempromosi tempat-tempat menarik serta aktiviti di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Labuan dan Kuala Lumpur selain turut menceritakan isu-isu semasa yang berlaku di sekitarnya.

​Selain itu, ia dijadikan suara warga kota dalam mengetengahkan kehidupan, harapan serta keperluan golongan terbabit dari semasa ke semasa sejajar dengan tagline ‘media warga kota’.

​Akhbar yang mengandungi 24 halaman itu diedarkan secara percuma kepada orang ramai di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Wilayahku dimiliki YWP Media Sdn Bhd yang merupakan subsidiari milik Yayasan Wilayah Persekutuan.

Pada 2 Mei 2023, pengarah dan aktivis seni, Datuk Afdlin Shauki Afdlin dilantik sebagai Pengerusi YWP Media.

Pada 14 Julai tahun sama, Afdlin turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur  bersama-sama pemimpin PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast