Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-58 (Plenari) ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – ASEAN kini giat mempercepatkan proses dokumentasi untuk membolehkan Timor-Leste diterima sebagai ahli penuh sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah tersebut penting bagi merealisasikan aspirasi keanggotaan penuh Timor-Leste.

“Dokumentasi untuk penyertaan penuh Timor-Leste sedang dipercepatkan dan kita mahu ia dimuktamadkan ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47,” katanya selepas mempengerusikan Sesi Pleno Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Terdahulu, ketika hadir merasmikan AMM ke-58, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia telah lama menyatakan sokongan terhadap penyertaan Timor-Leste, sejajar dengan komitmen negara dalam mempromosi keterangkuman, memperkukuh kerjasama serantau dan membina masa depan bersama yang stabil.

Sementara itu, Mohamad turut menekankan keperluan penyelarasan yang lebih kukuh antara Kementerian Luar, Ekonomi dan Perdagangan di peringkat negara anggota bagi memastikan keputusan-keputusan ASEAN dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.

Beliau berkata, kegagalan dalam penyelarasan selama ini menyebabkan banyak keputusan yang dibuat tidak diterjemahkan kepada tindakan sebenar.

“Dahulu kita hanya berhenti setakat kenyataan bersama. Tapi sekarang kita mahu tindakan yang konkrit dan menyeluruh,” kata beliau.

Bagi mengatasi isu pelaksanaan, Mohamad berkata, satu forum melibatkan Menteri-Menteri Luar bersama Menteri-Menteri Ekonomi dan Perdagangan ASEAN akan diadakan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN akan datang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast