PUCHONG – Hanya barangan dikeluarkan atau diimport bermula 1 Julai tahun ini sahaja yang akan dikenakan Cukai Jualan (SST).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shamsul Nizam Khalil berkata, pihaknya memberi perhatian serius terhadap kemungkinan berlaku manipulasi harga oleh mana-mana peniaga yang menggunakan pelaksanaan SST sebagai alasan menaikkan harga barangan yang sepatutnya tidak terlibat.
“Jika ada peniaga menaikkan harga barang yang diimport sebelum tarikh itu, kita anggap itu satu bentuk manipulasi dan kita akan siasat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi turun padang Ops Kesan 4.0 di Balaji Enterprise Sdn. Bhd., Seri Kembangan, Puchong, hari ini, bagi menilai pelaksanaan cukai jualan serta pematuhan harga oleh peniaga.
Menurut Shamsul Nizam, pelaksanaan Ops Kesan 4.0 yang bermula pada 1 Julai lalu melibatkan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua rantaian perniagaan termasuk pengilang, pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit.
“Kita juga meneliti sama ada pergerakan harga barangan bercukai adalah selaras dengan pengenaan SST oleh pengilang atau pengimport.
“Terdapat lebih 1,000 jenis barangan yang dikecualikan daripada SST, termasuk barangan keperluan asas. Oleh itu, sebarang kenaikan harga perlu ada asas yang jelas.
“Kalau tidak, ia boleh dikategorikan sebagai mencatut,” menurutnya.
Shamsul Nzam juga menjelaskan, antara tumpuan utama Ops Kesan 4.0 adalah untuk mengenal pasti sama ada wujud elemen pencatutan.
Ia termasuk perbuatan mengambil keuntungan berlebihan yang tidak munasabah, yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).
“Proses kita melibatkan tiga langkah utama. Pertama, mengeluarkan notis Seksyen 21 untuk mendapatkan maklumat kos dan harga barangan. Kedua, kita akan meneliti harga jualan. Ketiga, kita akan lakukan analisis perbandingan untuk menentukan sama ada wujud pencatutan.
“Kalau ada unsur mencatut, tindakan undang-undang akan diambil. Individu boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM500,000,” tegasnya.
Tumpuan juga diberikan kepada barangan yang tidak tertakluk kepada SST namun berlaku perubahan harga ketara yang memerlukan siasatan lanjut untuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan.
“Ini antara fokus utama kita kerana kita tidak mahu rakyat terbeban dengan harga barang yang dinaikkan atas alasan yang tidak sah,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















