Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim ketika ditemui pemberita di sini hari ini

KUANTAN – Kewujudan reptilia berbahaya di lokasi menyebabkan pihak bomba berdepan kesulitan menjalankan operasi dan menyelamat (SAR) remaja berusia 15 tahun yang dilaporkan terjatuh ke sungai di sini sewaktu memancing dalam kejadian malam tadi.

Disebabkan itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihak Jabatan Perlindungai Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) turut membantu dalam SAR kali ini bagi melancarkan operasi.

Selain itu, katanya, SAR yang bermula sejak pukul 8 pagi tadi memperluas radius pencarian sehingga sejauh lima kilometer (km) dengan kerjasama pelbagai agensi penyelamat lain.

“Kita juga akan libatkan unit dron daripada JBPM selain bantuan bot dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kuantan.

“Semalam, kita sudah memulakan operasi dan membuat rondaan di pesisir sungai dan sambung pagi ini melibatkan keanggotaan seramai 42 orang daripada pelbagai agensi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Anggota Bomba melakukan SAR dengan menggunakan teknik ‘surface searching’ di sepanjang sungai Kuantan di sini pagi ini

Beliau berkata, anggota terlibat antaranya JBPM Pahang seramai 16 anggota, PDRM (9), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (10) dan pihak PERHILITAN.

Mohd Razam dalam pada itu turut menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dengan membuat andaian mangsa dibaham buaya sebelum terjatuh ke sungai.

“Nasihat saya, setakat ini tiada bukti kukuh terhadap dakwaan melibatkan mangsa dibaham buaya. Jadi, janganlah membuat spekulasi yang mungkin akan menimbulkan panik kepada penduduk dan hormatilah ahli keluarga,” jelasnya lagi.

Beliau turut menasihati orang awam agar lebih cakna dan peka terhadap keselamatan diri dan sekeliling selain lebih berhati-hati apabila melakukan sebarang aktiviti di air. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Remaja dikhuatiri lemas terjatuh ke sungai ketika memancing

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast