Gambar hiasan

MIRI – Seorang pesara syarikat swasta, di sini, kerugian hampir RM500,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, lelaki berusia lingkungan 60-an itu dilaporkan mula berurusan dengan suspek yang menyamar sebagai penyelia sebuah kumpulan pelaburan, melalui sebuah iklan di laman Facebook pada pertengahan Mei lepas.

“Tertarik dengan tawaran pelaburan yang dijanjikan, mangsa menekan pautan iklan tersebut dan kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mancha berkata, mangsa yang terpedaya telah membuat beberapa transaksi pindahan wang ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek, melibatkan jumlah keseluruhan kira-kira RM500,000.

“Lelaki itu mula menyedari ditipu apabila suspek terus meminta bayaran tambahan sekiranya mahu mengeluarkan keuntungan pelaburan, sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu baru-baru ini.

“Sehingga laporan dibuat mangsa hanya menerima pulangan kira-kira RM65,000 sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihak polis menasihatkan orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan yang ditawarkan di laman sosial tanpa membuat semakan terlebih dahulu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast